KUALA LUMPUR, 21 Mei: Pemilihan Kuala Lumpur sebagai lokasi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 memberi peluang kepada Malaysia untuk menonjolkan kemajuan ibu negara kepada dunia.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia merupakan peluang yang baik untuk menunjukkan kemajuan yang telah dicapai, sejak kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Asean sejak 10 tahun lalu.
“Kuala Lumpur ialah ibu negara kita, manakala Putrajaya merupakan pusat pentadbiran. Lazimnya, sidang kemuncak seperti ini diadakan di ibu kota.
“Ini adalah peluang untuk kita menyambut tetamu dan menunjukkan betapa indah dan majunya Kuala Lumpur hari ini, terutamanya selepas 10 tahun kali terakhir kita menjadi tuan rumah,” katanya dalam satu sidang media.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Media Antarabangsa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Rabu.
Menurut beliau, menjadi kelaziman bagi negara-negara anggota ASEAN dan antarabangsa untuk menganjurkan sidang kemuncak penting di ibu kota masing-masing, termasuk bagi menampilkan kemajuan fizikal dan infrastruktur yang telah dicapai.
Fahmi turut menjelaskan bahawa walaupun wujud beberapa rungutan mengenai penutupan jalan dan kesesakan lalu lintas, penganjuran sidang berprestij ini adalah satu peluang berharga untuk Malaysia.
“Pada masa sama, saya ambil maklum bahawa ramai warga kota perlu merancang perjalanan dan kehadiran mereka ke tempat kerja.
“Justeru itu, saya menyeru agar syarikat-syarikat swasta memberi sedikit kelonggaran kepada pekerja untuk bekerja dari rumah,” katanya.
Tambahnya, seruan ini juga sejajar dengan saranan Perdana Menteri sebelum ini agar sektor swasta menggalakkan amalan kerja dari rumah dalam situasi tertentu.
Sebelum ini media melaporkan sebanyak 71 buah sekolah di sekitar Kuala Lumpur dibenarkan menjalankan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) susulan Sidang Kemuncak Asean ke-46 yang dijadualkan berlangsung bermula Jumaat ini.
Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan penutupan jalan secara berkala di beberapa buah lokasi bagi memastikan keselamatan dan kelancaran perjalanan delegasi-delegasi negara anggota ASEAN yang hadir.-TVS