MIRI, 21 Mei: Miri meraikan ulang tahun ke-20 sebagai bandar raya, sekali gus menandakan perjalanan transformasi luar biasa daripada sebuah bandar minyak berskala sederhana kepada sebuah bandar raya pintar, inovatif dan maju di utara Sarawak
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata perkembangan Miri terus dirasai dengan pelbagai inisiatif pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat serta meningkatkan kualiti hidup penduduknya dengan infrastruktur moden, kemudahan pintar dan pelaburan berterusan.
“Dua dekad yang lalu, Miri dinaik taraf kepada status bandar raya sebagai pengiktirafan terhadap kepentingannya yang semakin berkembang. Transformasi Miri adalah satu kejayaan yang membanggakan,” katanya.
Beliau yang mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata demikian ketika menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-20 Hari Bandaraya Miri di sini, malam tadi.
Beliau turut memuji kepimpinan serta visi para pentadbir bandar yang telah menjadikan Miri sebuah bandar raya yang dinamik dan selesa didiami.
“Saya memberi penghargaan kepada Datuk Bandar dan bekas-bekas Datuk Bandar atas usaha gigih, perancangan strategik dan pelaksanaan yang cemerlang dalam membentuk Miri sebagai sebuah bandar pintar dan lestari,” katanya lagi.
Dr Sim turut menegaskan peranan Miri sebagai hab pendidikan utama di Sarawak dengan kehadiran Universiti Curtin Malaysia dan penubuhan Institut Perubatan Integratif Fudan (FDIIM) yang akan datang.
“Miri berpotensi menjadi pusat pembelajaran dan penyelidikan bertaraf antarabangsa yang mampu menarik bakat dari seluruh dunia,” ujarnya.
Beliau turut menyeru agar Miri terus mengukuhkan kerjasama domestik dan antarabangsa dalam pelbagai bidang termasuk budaya, pelancongan dan inovasi digital demi memastikan pembangunan yang mampan dan lestari.
“Kerajaan Negeri Sarawak komited memberi sokongan penuh untuk pertumbuhan dan transformasi berterusan Bandaraya Miri,” ujarnya lagi.
Di bawah inisiatif Projek Rakyat yang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM), sebanyak 16 projek bernilai RM110.5 juta telah berjaya dilaksanakan manakala 14 projek pembangunan bernilai RM123.5 juta telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
Program Transformasi Luar Bandar (RTP) juga telah melaksanakan 548 projek dengan peruntukan RM96.4 juta dari 2015 hingga 2025. – TVS