LANGKAWI, 21 Mei: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kini giat meneroka potensi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta sistem pemantauan pintar sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kawalan keselamatan perairan negara.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pendekatan itu adalah sebahagian daripada agenda reformasi operasi agensi dalam menghadapi landskap keselamatan maritim yang semakin mencabar, khususnya jenayah rentas sempadan yang semakin kompleks.
“Maritim Malaysia melihat keperluan untuk meneroka teknologi baharu seperti kecerdasan buatan, analitik data masa nyata serta sistem pemantauan pintar bagi meningkatkan kecekapan pemantauan dan kemampuan respons terhadap sebarang insiden di laut,” katanya ketika ditemui sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25), hari ini.
Tambah beliau, LIMA’25 menjadi platform penting bagi Maritim Malaysia meninjau teknologi baharu serta mengenal pasti peluang kerjasama strategik dengan pemain industri, sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.
“Kami amat mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama baharu yang dapat memperkukuh keupayaan operasi Maritim Malaysia, termasuk dalam aspek latihan, teknologi dan pertukaran maklumat.
“Apa yang penting, aset dan sistem yang digunakan mestilah kekal relevan serta efektif untuk mendepani cabaran semasa dan akan datang,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa penggunaan teknologi moden bukan untuk menggantikan tenaga kerja manusia, sebaliknya berperanan sebagai pelengkap yang mampu memperkasakan operasi agensi secara keseluruhan.
“Sebagai contoh, kecerdasan buatan boleh membantu dalam membuat keputusan pantas, menjejak pergerakan Vesel Nelayan Asing (VNA), serta memberikan amaran awal melalui sistem pengesanan automatik. Ini membolehkan tindakan lebih proaktif dapat diambil,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Maritim Malaysia dijangka mengadakan beberapa sesi perbincangan tertutup bersama rakan strategik serta agensi keselamatan antarabangsa sepanjang penganjuran LIMA 2025, khususnya bagi memperhalusi potensi kerjasama jangka panjang. – TVS