KUCHING, 21 Mei: Hari Ibu merupakan satu sambutan istimewa yang diraikan di seluruh dunia bagi menghargai jasa, pengorbanan dan kasih sayang seorang ibu dan di Malaysia ia disambut pada setiap Ahad minggu kedua bulan Mei setiap tahunnya.
Bertemakan Sentuhan KASIH Ibu bukan hanya menjadi satu slogan, melainkan mengangkat makna yang cukup mendalam terhadap peranan seorang ibu dalam membentuk keluarga yang sejahtera.
Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, setiap tahun tema yang dipilih bersempena Hari Ibu merupakan satu manifestasi dalam mengiktiraf peranan besar ibu sebagai tonggak kekuatan negara.
“Di negeri Sarawak kita dapat melihat pelbagai latar belakang dan kisah para ibu yang luar biasa sama ada di bandar mahupun di kawasan pedalaman namun semuanya tetap memiliki satu persamaan.
“Satu persamaan yang dimiliki oleh para ibu ini ialah satu kegigihan dalam membesarkan anak-anak walaupum berdepan dengan berbagai cabaran sosioekonomi dan kemajuan teknologi yang terus berkembang pesat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2025 di Kuching pada Rabu.
Tambahnya, Kerajaan Madani melalui Dasar Negara 2025 – 2030 membawa tekad memartabatkan kaum wanita dan ibu melalui pelbagai program seperti Program Kasih Ibu Tunggal (PROKIT), Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (IKIT), MamaCare, Program Wanita Bangkit dan banyak lagi.
Ujarnya lagi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui LPPKN juga tidak ketinggalan dalam menyediakan program pendidikan keibubapaan, khidmat kaunseling dan terapi minda serta saringan kesihatan wanita bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan para ibu senantiasa dijaga.
Rohani turut menegaskan agar Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2025 memberi manfaat kepada semua terutama para ibu dan wanita selain menyeru agar semua pihak dapat bersama-sama menghargai ibu bukan sahaja pada hari seperti ini tetapi juga pada setiap harinya.
Lebih 300 orang wanita dan ibu menghadiri Sambutan Hari Ibu Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2025 yang mana pelbagai pengisian menarik diadakan sepanjang sambutan ini berlangsung.
Antara aturcara program ini seperti sesi Bicara Santai “Wanita, Ibu Dan Masa Depan Negara” aktiviti pakej Sayang Ibu meliputi urutan kesejahteraan wanita dan pakej saringan kesejahteraan wanita serta pameran pelbagai jabatan dan agensi. – TVS