MIRI, 21 Mei: Usaha memperkukuh keselamatan makanan negara terus dipergiat menerusi pelaksanaan Program Pengukuhan myKomuniti Perikanan (myKP) di Kuala Sibuti, Miri, selaras dengan aspirasi Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) untuk mencapai tahap sara diri (SSL) ikan sebanyak 97.8 peratus menjelang tahun 2030.
Pengarah Kanan Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Abdul Rahman Abdul Wahab berkata, myKP merupakan inisiatif berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada pengurusan sumber perikanan secara lestari selain merangsang ekonomi tempatan melalui pelbagai projek pemerkasaan.
“myKomuniti Perikanan merupakan pendekatan pengurusan berasaskan komuniti yang sangat penting bagi memastikan sumber perikanan negara dapat diurus dengan lebih cekap dan lestari, sejajar dengan prinsip Malaysia MADANI dan komitmen terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 14),” katanya ketika berucap dalam Program Pengukuhan myKomuniti Perikanan (myKP) di Kuala Sibuti, Bekenu di sini, hari ini.
Tambahnya, sejak dilancarkan secara rasmi pada 14 September 2020, myKP Kuala Sibuti telah berjaya melaksanakan empat projek utama seperti pembinaan pondok penyelenggaraan bot, pemprosesan produk perikanan dan penghasilan belacan, yang membuktikan daya usaha tinggi komuniti setempat.
“Dengan keahlian seramai 36 orang mewakili pelbagai sektor perikanan, program ini bukan sahaja menyumbang kepada pengurusan sumber, tetapi juga kepada penjanaan pendapatan dan keselamatan makanan negara.
“Sebagai tambahan kepada inisiatif ini, sebanyak RM97,370.00 turut disalurkan sebagai nilai bantuan kepada empat orang penerima di bawah Skim Peningkatan Ekonomi Komuniti Setempat (SPeKS) melalui program myaGROPRENEUR Perikanan (myAP) dan myKomuniti Perikanan (myKP),” tambahnya.
Bantuan tersebut merangkumi sokongan kepada usahawan mikro perikanan dalam meningkatkan kapasiti perniagaan mereka melalui aktiviti hiliran seperti pemprosesan makanan laut, pembangunan produk baharu dan penambahbaikan kemudahan asas pengeluaran.
Pelaksanaan program myKP bukan sahaja menjurus kepada kelestarian sumber laut, tetapi menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi luar bandar di Miri.
Dengan sokongan berterusan daripada kerajaan, komuniti perikanan terus diperkasa sebagai rakan strategik negara dalam memperkukuh sekuriti makanan menjelang 2030. – TVS