KUCHING, 21 Mei: Perkhidmatan bas ulang-alik dari Kuching ke Lundu dan Sematan dicadangkan agar diwujudkan semula secara tetap dan berjadual, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang.
Menurutnya cadangan itu diyakini akan menangani isu kekurangan pengangkutan awam yang dialami penduduk setempat selama ini selain memberi impak kepada sektor pelancongan di kawasan berkenaan.
“Terdapat rungutan daripada pelancong asing yang telah tiba di Kuching dan ingin melawat Lundu serta Sematan untuk menikmati keindahan alam semula jadi dan ekopelancongan, tetapi terpaksa membatalkan hasrat kerana tiada pengangkutan awam ke kawasan ini,” katanya.
Billy berkata demikian ketika menyampaikan Usul Penghargaan Atas Ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada Persidangan Hari Ketiga Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-19
Cadangan itu kata Billy melibatkan dua laluan utama iaitu Kuching–Lundu–Kuching dan Lundu–Sematan–Lundu.
“Ketiadaan perkhidmatan bas awam sejak ia dihentikan sebelum ini telah menyukarkan pergerakan harian penduduk dan menjejaskan hubungan antara komuniti berikutan tidak semua penduduk memiliki kenderaan sendiri.
Justeru itu, tegasnya sistem pengangkutan awam yang konsisten dan tambang berpatutan amat diperlukan bagi memudahkan mobiliti warga setempat.
Sehubungan itu, beliau merayu kepada Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin untuk meneliti isu berkenaan dan mengambil tindakan segera demi kesejahteraan masyarakat sekali gus pembangunan pelancongan daerah Lundu dan Sematan.