KUCHING, 21 Mei: Rang Undang-Undang (RUU) Tabung Amanah Pembangunan Infrastruktur (Pembubaran) 2025 mampu memberi alternatif baharu ke arah kawal selia kewangan pendapatan dan pengurusan dana kewangan yang lebih efisien.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana ketika membahaskan RUU berkenaan berkata ia merupakan satu usaha yang sangat penting bagi memperkukuhkan lagi kuasa untuk mengawal selia urusan perolehan dan perbelanjaan kerajaan negeri.
“Kesemua dana dan perolehan kewangan dalam tabung berkenaan berlandaskan Seksyen 3 pada Ordinan Tabung Amanah Pembangunan Infrastruktur 1985 akan dipindahkan ke dalam Dana Disatukan atau ‘Consolidated Fund’ Kerajaan Sarawak.
“Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sangat menitikberatkan penubuhan sebuah entiti disatukan untuk pengurusan aset dan pelaburan bagi meningkatkan hasil Kerajaan Sarawak dalam jangka panjang.
“Ini dibuktikan dengan penubuhan Dana Kekayaan Masa Depan Berdaulat Sarawak dengan modal awal RM8 bilion dalam misi kerajaan untuk membina dana simpanan jangka panjang bagi negeri ini yang kaya dengan sumber asli,” jelasnya.
Justeru katanya pembubaran RUU ini mampu membuka arah baharu yang akan menjadi peneraju dalam pelaksanaan polisi baharu dan sedia ada.
Menurutnya tadbir urus dan pelaksanaan yang baik dalam bidang-bidang kewangan ini akan memperkukuh visi dan misi Sarawak untuk menjadi negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.-TVS