PUTRAJAYA, 21 Mei: ASEAN Cultural Night Run @ Penang 2nd Bridge (ACNR) menyasarkan 5,000 penyertaan bagi penganjurannya tahun ini sempena kepengerusian ASEAN di Malaysia dan juga sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC) 2025.
Bagi menjayakan lagi program ini, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) hari ini menyerahkan tajaan berjumlah RM100,000 kepada Koperasi LLM Berhad serta pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara kedua pihak.
Hadir menyaksikan penyerahan dan pertukaran MoA berkenaan adalah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Katanya, setakat ini, penyertaan sudah mencapai 3,000 orang di mana lebih daripada 500 orang merupakan penyertaan daripada warga asing.
“ACNR akan diadakan pada 16 Ogos di Jambatan Pulau Pinang kedua dan saya harap kita akan mencapai sasaran dan objektif,” katanya selepas majlis penyerahan dan pertukaran MoA di pejabatnya, hari ini.
Dalam masa sama, Pengerusi Koperasi LLM Berhad, Dato Idrus Mat Tais berkata, hadiah menarik menanti peserta-peserta, terutama sekali yang akan menyertai kategori larian kompetitif 21km dan 10km.
Selain itu, untuk kategori larian kebudayaan 5km, peserta dialu-alukan untuk menggunakan pakaian tradisional semasa berlari kerana terdapat 30 hadiah istimewa disediakan.
“Acara larian ini bukan acara larian yang biasa kerana dia adalah gabungan larian kompetitif, fun run dan larian kebudyaaan.
“Kita juga selitkan pelbagai acara kebudayaan. Kepada yang berminat masih boleh mendaftar sehingga 30 Jun ini,” ujar beliau lagi. – TVS