KUCHING, 20 Mei: Sesi One Step Closer anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menjadi medan libat urus strategik bersama penggiat industri kreatif dalam memperkemas hala tuju industri seni tanah air.
Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac berkata, sesi itu merupakan inisiatif badan tersebut untuk mendapatkan maklum balas secara terus daripada pemain industri berhubung urus tadbir, kawal selia dan tatakelola FINAS, termasuk perbincangan berkaitan pindaan Akta FINAS 1981 (Akta 244).
Beliau berkata, pindaan akta berkenaan bertujuan memperkukuh fungsi FINAS agar kekal relevan dan efektif sebagai badan peneraju utama industri perfileman negara.
“Pertama sekali, akta baharu ini akan memperjelas kuasa FINAS. Fokus utama pindaan adalah terhadap kebajikan penggiat industri dan penyesuaian kepada era pendigitalan kerana format asal Akta 244 adalah berasaskan penghasilan filem.
“Hari ini, filem boleh dihasilkan menggunakan telefon pintar. Maka, pindaan ini akan membolehkan FINAS mengawal selia kandungan secara lebih komprehensif dan sejajar dengan perkembangan teknologi,” katanya ketika ditemui pada program One Step Closer di pejabat FINAS Cawangan Sarawak, di sini, hari ini.
Menurutnya, tiga tunjang utama diberi perhatian dalam pindaan akta itu iaitu pengukuhan kuasa FINAS, pematuhan pemain industri terhadap peraturan ditetapkan, serta penekanan terhadap aspek pendigitalan dan kebajikan.
“Kami juga akan mengetatkan aspek penalti terhadap individu atau syarikat yang tidak mematuhi garis panduan kerana masih ada segelintir yang ambil mudah perkara ini,” katanya.
Tambahnya, perubahan landskap media dan kemunculan platform penstriman digital serta perkhidmatan Over-The-Top (OTT) menuntut pindaan terhadap akta sedia ada supaya lebih selaras dengan keperluan semasa industri.
“Penggiat industri perlu cakna terhadap intipati pindaan ini, terutama dari aspek penyelarasan kandungan yang kini lebih banyak disalurkan menerusi platform digital berbanding saluran konvensional seperti pawagam atau televisyen,” jelasnya.
Seramai lebih 100 penggiat industri kreatif dan perfileman Sarawak hadir menyertai sesi libat urus berkenaan.