Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni

SEDC Energy teroka sumber asli lain bagi bahan api SAF

ByMuqri Aziz

KUCHING, 20 Mei: SEDC Energy giat meneroka sumber asli lain selain mikro-alga bagi penghasilan bahan api penerbangan mampan (SAF) sebagai langkah mempelbagaikan sumber tenaga hijau dan mengukuhkan kedudukan Sarawak dalam industri tenaga boleh diperbaharui global.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni berkata, langkah ini adalah kesinambungan kepada usaha sedia ada yang kini menumpukan kepada pembangunan teknologi berasaskan mikro-alga.

“Rancangan untuk meneroka sumber lain bahan api SAF selain daripada mikro-alga sedang dijalankan oleh SEDC Energy dengan mengkaji dan meneroka sumber-sumber lain yang bersesuaian untuk tujuan pengeluaran bahan api SAF.

“Antara sumber boleh dijadikan pilihan ialah minyak masak terpakai, rumpai laut, sisa pertanian dan biojisim.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Fridak Belik, berhubung cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaan Projek Mikro-Alga di Sarawak pada hari kedua Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19 di Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

Menurut Dr. Hazland, antara cabaran utama yang dihadapi adalah perubahan cuaca tidak menentu yang memberi kesan langsung kepada kitaran pertumbuhan mikro-alga, seterusnya mempengaruhi kestabilan output biojisim.

“Selain itu, projek ini memerlukan pelaburan yang tinggi dalam penggunaan teknologi seperti AI Sensor bagi mengganti tenaga manual dalam pengendalian proses penghasilan mikro-algae yang berkualiti tinggi.

“Cabaran lain adalah untuk meningkatkan pengeluaran untuk memenuhi permintaan dunia bagi bahan mentah bio,” katanya lagi.

Tambah beliau, isu skala pengeluaran turut menjadi cabaran memandangkan permintaan global terhadap bahan mentah bio semakin meningkat dan memerlukan peningkatan kapasiti pengeluaran secara mampan.

Namun begitu, Dr. Hazland menjelaskan bahawa manfaat kepada syarikat dan pemain industri tempatan dalam sektor mikro-alga di Sarawak semakin ketara.

Beliau turut menegaskan bahawa untuk menjamin daya maju jangka panjang, projek mikro-alga ini mesti beroperasi pada skala ekonomi yang sesuai agar pelaburan yang dibuat mampu menghasilkan pulangan lestari. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan