KUCHING, 20 Mei: Rang Undang-Undang Pusat Biodiversiti Sarawak (Pindaan) 2025 yang dibentangkan dan dibahas dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 hari ini diyakini berupaya memperkukuh tadbir urus biodiversiti negeri serta membuka laluan baharu ke arah pemerkasaan ekonomi berasaskan bioindustri.
Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, pindaan tersebut akan menyelaraskan dasar biodiversiti negeri dengan undang-undang persekutuan serta Protokol Nagoya yang berkaitan Akses dan Perkongsian Manfaat (ABS).
“Dengan pindaan ini, Sarawak dapat memanfaatkan kekayaan sumber biologi sebagai asas pembangunan ekonomi, khususnya dalam sektor farmaseutikal, nutraseutikal, kosmeseutikal dan bioindustri,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menyokong perbahasan Rang Undang-Undang Pusat Biodiversiti Sarawak (Pindaan) 2025.
Dalam persidangan DUN itu, Roland turut memberitahu bahawa sekiranya diluluskan, RUU tersebut akan memberi kuasa kepada Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) untuk menubuhkan syarikat subsidiari, memiliki dan melesenkan harta intelek (IP), serta membangunkan fasiliti bagi penyelidikan dan tujuan komersial.
“Langkah ini merupakan pemangkin utama kepada pembangunan bioekonomi bernilai tinggi di Sarawak yang bukan sahaja berpotensi meningkatkan hasil negeri, malah menggalakkan kerjasama dengan pelabur serta institusi penyelidikan tempatan dan antarabangsa,” ujar Roland. – TVS