ISTANBUL, 20 Mei: Rumah Putih mengesahkan bahawa panggilan telefon antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin, dalam usaha mencapai gencatan senjata antara Moscow dan Kyiv, telah bermula pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi.
Trump pertama kali mengumumkan bahawa beliau akan mengadakan panggilan dengan pemimpin Rusia itu melalui hantaran di media sosial pada Sabtu. Kremlin kemudian mengesahkan pada hari yang sama bahawa perbualan itu akan berlangsung.
Trump turut menyatakan bahawa beliau akan membincangkan isu perdagangan dengan Presiden Rusia tersebut.
Panggilan itu berlaku susulan laporan CNN yang memetik kenyataan pihak presiden Ukraine bahawa Trump telah memulakan usaha diplomasi hariannya dengan menghubungi Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy terlebih dahulu, bukannya Putin, walaupun beliau sebelum ini mengumumkan sebaliknya.
Trump memaklumkan bahawa beliau akan menghubungi Putin pada jam 10 pagi (1400GMT), diikuti panggilan dengan Zelenskyy dan pegawai NATO.
Tidak jelas apa yang menyebabkan perubahan rancangan yang dilaporkan itu. Rumah Putih enggan mengesahkan atau menafikan sama ada panggilan Trump-Zelenskyy benar-benar berlaku.
Trump menggambarkan perbualan tersebut sebagai satu langkah ke arah menamatkan “pertumpahan darah” yang meragut lebih 5,000 nyawa askar setiap minggu.
“SEMOGA INI HARI YANG PRODUKTIF,” tulisnya di Truth Social.
Panggilan itu diadakan selepas perwakilan Rusia dan Ukraine mengadakan rundingan langsung pertama mereka dalam tempoh lebih tiga tahun di Istanbul pada Jumaat. -TVS