Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Ibrahim Baki, Xu Kunlin, Dato Janin Girie, Song Qinbo dan Datuk Joseph Podtung pada majlis pemeteraian Perjanjian Kerjasama Strategik antara PETROS dan CJI. Foto PETROS

PETROS, CJI meterai perjanjian bangunkan Hab Rendah Karbon Kuching

BySaibi Gi

KUCHING, 20 Mei: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan China Jiangsu International Economic and Technical Cooperation Group Ltd (CJI) hari ini memeterai Perjanjian Kerjasama Strategik bagi memacu pembangunan Hab Rendah Karbon Kuching (KLCH).

Perjanjian itu dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETROS, Dato Janin Girie dan Presiden CJI, Song Qinbo yang disaksikan Timbalan Menteri Utiliti Sarawak (Sarawak Energy dan PETROS), Dato Ibrahim Baki dan Gabenor Jiangsu, China, Xu Kunlin. Hadir sama, Naib Presiden Kanan Pertumbuhan PETROS, Datuk Joseph Podtung.

Menerusi kenyataan PETROS, Janin berkata sebagai entiti milik kerajaan Sarawak dalam sektor minyak dan gas, PETROS dipertanggungjawabkan untuk mengurus sumber tenaga negeri dan menerajui agenda peralihan tenaga Sarawak.

“KLCH merupakan satu lonjakan besar, inisiatif transformatif yang akan menterjemahkan dasar rendah karbon Sarawak kepada peluang ekonomi sebenar untuk rakyat negeri ini serta menyumbang secara signifikan kepada Malaysia dan rantau ini,” katanya.

KLCH merupakan inisiatif utama di bawah Pelan Induk Gas Sarawak yang bertujuan merangsang pertumbuhan industri mampan dan bernilai tinggi.

Menerusi perjanjian tersebut, CJI dilantik sebagai salah satu rakan utama dalam pembangunan KLCH dan akan bekerjasama rapat dengan PETROS dalam perancangan induk taman perindustrian berkenaan.

KLCH membabitkan pengwujudan taman perindustrian rendah karbon berteknologi tinggi yang direka untuk menarik pelabur industri strategik sejajar dengan hasrat Sarawak untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi rendah karbon.

PETROS yang kini beroperasi merentasi keseluruhan rantaian nilai sektor minyak dan gas, sedang giat mengembangkan portfolionya ke bidang penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), penyelesaian tenaga rendah karbon serta nyahkarbonisasi industri.

Peranan PETROS dalam pembangunan KLCH mencerminkan komitmen syarikat itu terhadap transformasi industri yang mampan bagi membuka nilai ekonomi jangka panjang kepada Sarawak dan Malaysia.

Menurut kenyataan itu lagi, penubuhan KLCH dijangka menarik pelaburan langsung asing (FDI) berkualiti tinggi serta menjana peluang pekerjaan berpendapatan tinggi di Sarawak.

Kerjasama ini turut menyokong strategi menyeluruh Sarawak untuk bekerjasama dengan rakan global berpengalaman dalam merealisasikan projek berskala besar yang memberi impak tinggi kepada pembangunan negara.

CJI merupakan syarikat milik kerajaan berskala besar berpangkalan di Jiangsu, China yang mempunyai kepakaran luas dalam perancangan, kejuruteraan dan pelaksanaan projek infrastruktur serta pembangunan industri berskala besar di Asia, Afrika dan pasaran antarabangsa lain.

“Pemeteraian Perjanjian Kerjasama Strategik ini merupakan langkah penting dalam merealisasikan visi rendah karbon Sarawak, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai hab transformasi industri yang berdaya saing dan bersedia menghadapi masa depan,” kata kenyataan itu.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan