PUTRAJAYA, 20 Mei: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan masyarakat agar tidak panik susulan peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang dilaporkan berlaku di beberapa sekolah termasuk pusat jagaan di seluruh negara.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, KKM telah mengeluarkan kenyataan rasmi pada 12 Mei lalu bersama data terkini mengenai penularan HFMD, termasuk langkah pencegahan yang sedang digiatkan di peringkat komuniti.
“Nasihat kita (KKM) kepada masyarakat agar tidak panik dengan pihak kami berkeyakinan garis panduan sedia ada adalah mantap.
“Namun, keberkesanannya memerlukan kerjasama erat semua pihak khususnya pengusaha taska dan tadika yang berisiko tinggi terdedah kepada jangkitan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pengenalan Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) terkini bagi pengurusan disfungsi erektil (DE) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Indera Dr. Nor Azimi Yunus.
Mengulas lanjut, Lukanisman berkata saringan awal terhadap simptom HFMD seperti tompokan atau ruam pada tangan dan kaki kanak-kanak adalah langkah penting yang boleh dilaksanakan dengan mudah oleh pengasuh dan guru.
“Jika pengesanan awal dapat dilakukan, kita mampu mengelakkan jangkitan merebak kepada kanak-kanak lain. Ibu bapa harus memainkan peranan dalam mengambil langkah-langkah pencegahan ini,” jelasnya.
HFMD merupakan penyakit berjangkit yang lazimnya menjejaskan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dan boleh merebak dengan cepat terutama di tempat tumpuan kanak-kanak.
Dalam pada itu mengulas mengenai pelancaran garis panduan CPG, Lukanisman berkata, ia bertujuan untuk meningkatkan kualiti rawatan serta memperkasakan peranan pengamal perubatan dalam menangani isu kesihatan lelaki secara lebih sistematik dan berkesan.
Garis panduan itu, katanya dibangunkan oleh panel pakar pelbagai bidang termasuk urologi, perubatan keluarga, psikologi dan farmakologi klinikal, selaras dengan bukti terkini daripada kajian-kajian antarabangsa serta keperluan tempatan. – TVS