KUCHING, 20 Mei: Kerajaan Sarawak mengambil keputusan menamatkan projek Upper Baram Forest Area (UBFA) yang melibatkan pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa, Bruno Manser Fonds (BMF), selepas mendapati pendekatan organisasi itu tidak selari dengan kepentingan menyeluruh komuniti di kawasan terlibat.
Menjelaskan perkara itu Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, BMF didapati memberi keutamaan hanya kepada kaum Penan tanpa mengira kepentingan komuniti lain seperti Kenyah, Kelabit dan Saban yang turut mendiami kawasan Ulu Baram.
“Pendekatan ini berisiko memecah-belahkan keharmonian antara komuniti pelbagai etnik di kawasan tersebut, sedangkan prinsip pembangunan mampan harus melibatkan semua pihak secara inklusif.
“BMF hendak menjadikan kawasan tersebut sebagai kawasan pemuliharaan sepenuhnya (“Purely Conservation Area”) bagi kelangsungan hidup kaum Penan, sedangkan Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) berada berhampiran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dato Dennis Ngau (GPS-Telang Usan) mengenai penamatan projek UBFA semasa Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Sarawak di sini pada Selasa.
Menurut Len Talif, keputusan untuk menamatkan projek itu turut dipersetujui oleh International Tropical Timber Organisation (ITTO) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu yang berlangsung pada 10 Oktober 2024.
Kerajaan Sarawak telah menandatangani empat Surat Perjanjian Persetujuan Projek dengan ITTO, melibatkan dua projek pada 20 Mac 2023 dan dua lagi pada 9 September 2024.
Beliau mendedahkan tiga daripadanya terletak di Ulu Baram dan satu lagi di Sungai Menyang, Lubok Antu.
UBFA merupakan satu-satunya projek yang ditamatkan, manakala projek lain masih diteruskan seperti dirancang.
“Penamatan ini tidak akan menjejaskan kelangsungan hidup komuniti di kawasan tersebut, termasuk masyarakat Penan,” tambah beliau.
Beliau memberi jaminan bahawa pelbagai program dan projek kerajaan yang sedang dan akan dilaksana dengan memfokuskan kepada peningkatan taraf hidup komuniti tempatan secara menyeluruh dan seimbang.
Untuk rekod, sejak tahun 1992, Jabatan Hutan Sarawak tidak pernah membatalkan mana-mana projek yang ditandatangani dengan ITTO. -TVS