Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ribuan warga pendidik berkumpul pada Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-54 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 16 Mei lepas. Foto Bernama

Mengembalikan nilai hormat: Cabaran dan harapan pendidik masa kini

ByTVS

SEBAGAI seorang pendidik, saya terpanggil untuk mengulas sedikit  mengenai persepsi dan budaya masyarakat kita berkenaan nilai hormat menghormati sebagai salah satu komponen adab dalam dunia pendidikan.

Pendidikan bukan sekadar menyampaikan ilmu tetapi juga memupuk akhlak dan nilai murni.

Salah satu aspek yang paling penting dalam pendidikan ialah hubungan antara guru dan pelajar yang harus dibina di atas adab yang baik dan saling menghormati.

Hubungan ini bukan sahaja memudahkan proses pembelajaran tetapi juga akan mewujudkan persekitaran harmoni dan diberkati.

Hormat menghormati merupakan salah satu bentuk adab yang wajib menjadi asas kepada interaksi antara seorang pendidik dan pelajarnya.

Namun adab hormat seringkali dilihat sebagai hak eksklusif seorang guru yang mungkin disebabkan oleh autoriti yang dimiliki sebagai seorang guru atau kerana budaya masyarakat kita.

Tidak dinafikan, agama mengajar kita menghormati orang yang lebih tua terutama sekali jika mereka merupakan pendidik dan haruslah kita mengasihi yang lebih muda.

Contohnya, daripada Ibnu Abbas RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Bukanlah termasuk golongan kami, mereka yang tidak mengasihi anak-anak kecil kami dan tidak pula menghormati orang tua kami, serta tidak menyuruh yang makruf dan melarang yang mungkar.” (HR Tirmidzi No: 1844).

Hadis ini menonjolkan kepentingan hormat-menghormati dalam Islam, terutamanya terhadap golongan pendidik yang menjadi pembimbing.

Di samping itu, pendidik pula hendaklah menunjukkan sikap yang baik dengan bersikap lemah lembut, adil dan memahami keperluan pelajarnya.

Ini adalah kerana, sebagai seorang pendidik kita pasti tahu dan belajar dari pengalaman bahawa  bersikap zalim hanya akan menjauhkan pelajar dan pelajar akan hilang minat untuk belajar.

Apabila wujud sikap saling hormat-menghormati, proses pembelajaran akan menjadi lebih berkesan. Pelajar yang menghargai pendidik akan lebih tekun menuntut ilmu, manakala pendidik yang disegani akan lebih bersemangat untuk mengajar.

Pada zaman moden, rasa hormat terhadap pendidik telah terhakis kerana pengaruh media sosial dan perubahan nilai masyarakat.

Sesetengah pelajar berkelakuan kasar, manakala sesetengah pendidik mungkin hilang kesabaran. Untuk menangani perkara ini, ibu bapa dan pihak sekolah serta universiti hendaklah bekerjasama untuk menyemai nilai hormat-menghormati.

Pendidik juga harus dilengkapi dengan kemahiran komunikasi yang berkesan untuk mendidik dengan penuh kebijaksanaan.

Sebagai seorang pendidik, saya percaya bahawa sikap hormat yang ditunjukkan pelajar kepada pendidik boleh dan akan diperolehi melalui kaedah pengajaran yang baik.

Ini bermaksud, hormat bukan sahaja diperolehi secara autoriti dan melalui budaya tetapi mesti ditanam melalui pedagogi yang berkesan, menarik dan penuh belas kasihan.

Walaupun pandangan tradisional sering meletakkan pendidik  sebagai tokoh yang layak dihormati tanpa syarat, falsafah pendidikan moden mengiktiraf bahawa penghormatan sebenar adalah timbal balik iaitu pelajar lebih cenderung untuk menghormati dan menghargai pendidik yang menunjukkan kecekapan, keadilan dan dedikasi terhadap pembelajaran mereka.

Tidak dilupakan juga penekanan nilai hormat oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kerangka Malaysia MADANI bagi membangunkan masyarakat  yang madani,maju, terampil dan terangkum.

Sebagai seorang pendidik dan selari dengan tema ‘Guru Pemacu Reformasi Pendidikan’, marilah kita bersama-sama mengangkat martabat kita sebagai pendidik dengan berpegang kepada prinsip ‘Respect needs to be earned’.

Ini adalah kerana penghormatan yang terbit secara alamiah lebih bermakna, manis dan lebih ‘sustainable’ daripada penghormatan yang diperolehi melalui autoriti.-TVS

  • Artikel ini ditulis olej Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Sarawak, Nur Afisha Yusuf

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan