LANGKAWI, 20 Mei: Malaysia melakar pencapaian baharu dalam landskap pertahanan negara menerusi pelancaran rasmi RIBAT, kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi yang direka bentuk dan dibina sepenuhnya oleh syarikat tempatan, Mildef International Technologies Sdn Bhd (MILDEF).
Pengarah Urusan MILDEF, Datuk Seri Mohd Nizam Kasa menyifatkan pelancaran ini sebagai detik penting dalam pembangunan sistem pertahanan darat negara, sekali gus mengukuhkan kedudukan MILDEF sebagai pemain utama industri pertahanan tempatan.
Beliau berkata, penamaan rasmi RIBAT oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa erti simbolik yang mendalam, mencerminkan semangat berkawal dan mempertahankan tanah air yang berpaksikan iman, patriotisme dan teknologi.
“Pelancaran ini bukan sekadar memperlihatkan kemampuan kejuruteraan tempatan, malah ia adalah cerminan kejayaan dasar kerajaan dalam memperkasa ekosistem pertahanan negara yang berdikari dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
“RIBAT adalah bukti bahawa Malaysia mampu bukan sekadar menjadi pengguna, tetapi juga pencipta teknologi strategik dalam sektor pertahanan,” katanya dalam satu kenyataan selepas pelancaran di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, RIBAT dibangunkan sepenuhnya oleh jurutera tempatan dengan sokongan kemudahan kejuruteraan canggih di Seremban dan Sepang.
Kenderaan terbabit turut dilengkapi sistem perlindungan balistik modular dan direka bentuk untuk pelbagai jenis misi, termasuk rondaan, pengiring konvoi dan operasi khas. – TVS