LANGKAWI, 20 Mei: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan pembukaan segmen maritim pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25).
Gimik perasmian menyaksikan penyusupan oleh anggota penyelam taktikal dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terjun dari pesawat dan tiba di hadapan pentas dengan membawa kotak hitam yang berisi kad slot untuk diaktifkan oleh Perdana Menteri.

Demonstrasi seterusnya pula mempamerkan keupayaan bot-bot dan jet ski dari pelbagai agensi maritim melakukan pergerakan atau manuvra taktikal.
Antara agensi yang terlibat adalah TLDM, PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dan Jabatan Perikanan Malaysia.

Sebuah lagi demonstrasi keupayaan maritim turut diperlihatkan dengan konsep Inter-Agency Coordinated Rescue Mission (demonstrasi menyelamatkan tebusan) yang mempamerkan aksi dan kepakaran gabungan Pasukan Khas Laut (PASKAL) TLDM, Unit Gempur Marin PDRM, Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA), PasukanTindakan Khas dan Penyelamat (STAR) APMM dan Jabatan Laut Malaysia bersama aset permukaan dan udara.
Adegan terakhir adalah Fly-Past atau terbang lintas hormat dan Sail-Past yang melibatkan aset udara dan permukaan yang terlibat sepanjang sesi demonstrasi sebagai penghormatan kepada para tetamu yang hadir di pentas utama.

Hadir sama menyaksikan majlis Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Penganjuran pameran LIMA merupakan agenda nasional yang menjadi keutamaan kerajaan dalam merealisasikan iltizam strategik untuk menjadikan Malaysia sebagai hab global bagi perkembangan industri maritim dan aeroangkasa.
Pada edisi ke-17 kali ini, TLDM sebagai agensi utama segmen maritim LIMA’25 memberi penekanan terhadap ciri-ciri Malaysia sebagai sebuah negara maritim, di mana aktiviti maritim menjadi penyumbang utama dalam sektor ekonomi negara. – TVS