KUCHING, 20 Mei: Seorang lelaki warganegara China berusia 30-an cedera selepas pikap dipandu kemalangan kendiri di Jalan Batu Lintang di sini, malam tadi.
Komander Operasi, Abdul Aziz Swandi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 9.46 malam dengan menggerakkan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang ke lokasi kejadian.
“Sebuah pikap telah terlibat dalam satu kemalangan kendiri apabila dipercayai hilang kawalan lalu terbalik di lokasi kejadian.
“Mangsa telah berjaya keluar dari kenderaan tersebut dengan bantuan orang awam sebelum ketibaan pihak bomba. Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan serius,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, tiada operasi penyelamatan dijalankan memandangkan mangsa telah dikeluarkan dengan selamat.
“Pasukan bomba telah menjalankan pemeriksaan keselamatan di lokasi kejadian dan setelah memastikan keadaan selamat, pasukan bomba telah bertolak balik ke balai,” ujarnya.-TVS