TUARAN, 20 Mei: Seorang lelaki diberkas polis selepas dipercayai memindahkan wang berjumlah RM10,000 dari akaun bank milik birasnya ke akaun ibunya tanpa kebenaran dalam kejadian yang berlaku pada 20 November 2024.
Suspek berusia 34 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran pada 16 Mei, susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintenden Noraidin Ag. Maidin berkata siasatan awal mendapati suspek melakukan transaksi tanpa pengetahuan pemilik akaun sebelum wang tersebut dikeluarkan menggunakan kad bank yang berada dalam simpanannya.
“Siasatan mendapati pemindahan wang berlaku pada 20 November 2024 ke akaun bank milik ibu suspek, sebelum ia dikeluarkan menggunakan kad bank terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, kad bank tersebut turut disimpan oleh suspek ketika kejadian.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 424C(2) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda tidak kurang RM10,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya berkongsi maklumat perbankan atau menyerahkan kad bank kepada mana-mana pihak, termasuk ahli keluarga sendiri.
“Kes seperti ini bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh menjejaskan kepercayaan dalam institusi kekeluargaan dan kewangan,” tegasnya. – TVS