PUTRAJAYA, 20 Mei: Lebih 22,000 warga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berpeluang untuk memenangi wang tunai berjumlah RM20,000 dan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian terkemuka, Universiti Harvard di Amerika Syarikat.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, peluang itu ditawarkan menerusi penganjuran Anugerah Kecemerlangan Menteri (AKM) KPKT 2025 yang diadakan pada 8 November depan.
Jelas beliau, anugerah yang dianjurkan dua tahun sekali itu diberikan sebagai pengiktirafan kepada usaha dan pencapaian warga kerja KPKT dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara.
“Penganjuran Anugerah Kecemerlangan Menteri AKM ini akan terus menyokong agenda dan aspirasi Malaysia Madani dengan mengadakan anugerah-anugerah yang lebih inklusif dan progresif serta meraih kecemerlangan dalam pelbagai bidang,” katanya.
Nga berkata demikian pada perasmian Majlis Pra-Pelancaran Anugerah Kecemerlangan Menteri KPKT dan Anugerah Kecemerlangan Media KPKT 2025 di sini, hari ini.
Menurutnya, sebanyak 10 anugerah ditawarkan dengan kategori individu antaranya Anugerah Keunggulan Menteri, Anugerah Kepimpinan Terbaik, Anugerah Kepimpinan Berinspirasi, Anugerah Pemimpin Harapan, Anugerah Pelaksanaan Terbilang dan Anugerah Ikon Inspirasi.
Selain itu, bagi kategori berkumpulan pula ialah Anugerah Organisasi Unggul, Anugerah Organisasi Sejahtera, Anugerah Kepimpinan PBT terbaik dan Anugerah PBT Cemerlang.
Sementara itu, KPKT turut menawarkan Anugerah Kecemerlangan Media KPKT 2025 yang bakal berlangsung pada 3 November 2025 dan menawarkan hadiah wang tunai RM3,000 hingga RM10,000 bagi setiap kategori.
“10 kategori diperkenal ialah Anugerah Khas Menteri, Anugerah Penyiaran Televisyen Terbaik, Anugerah Video Portal Online Terbaik dan Anugerah Penyiaran Radio Terbaik.
“Selain itu, Anugerah Penerbitan Artikel Terbaik, Anugerah Kewartawanan Foto Terbaik, Anugerah Kandungan Media Sosial Terbaik dan Anugerah Influencer Terbaik,” katanya.
Nga berkata, pencalonan karya diterbit bermula 1 September 2024 hingga 31 Ogos 2025, dengan tarikh tutup penyertaan adalah 16 September ini.
“Media bukan sekadar penyampai berita, tetapi mencorak persepsi dan membina keyakinan rakyat terhadap dasar kerajaan.
“Kita terus memperkukuh peranan media sebagai rakan strategik pembangunan nasional serta penghubung suara rakyat dengan kerajaan,” katanya. – TVS