Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ketuai delegasi MARA adakan kunjungan hormat ke atas Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Foto Nadim Bokhari (TVS

IKM Bintulu kini dikenali hab pendidikan tenaga serantau

ByMuqri Aziz

KUCHING, 20 Mei: Institut Kemahiran MARA (IKM) Bintulu bakal dinaik taraf sebagai hab pendidikan tenaga serantau, sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi pusat pembangunan tenaga masa hadapan termasuk tenaga hidrogen dan teknologi hijau.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengakui IKM Bintulu memiliki fasiliti bertaraf antarabangsa yang diiktiraf oleh pelbagai badan profesional, khususnya dalam bidang kimpalan berkaitan tenaga.

Menurut beliau, MARA kini sedang merangka pelan induk bagi memperkukuh peranan IKM Bintulu sebagai pusat latihan dan pendidikan utama dalam sektor tenaga.

“Fasiliti di IKM Bintulu adalah antara yang terbaik di Malaysia dan telah menerima pengiktirafan daripada banyak badan antarabangsa, terutama dalam konteks kimpalan berkaitan tenaga.

“Justeru, kerjasama strategik dengan Kerajaan Sarawak amat penting kerana ia seiring dengan aspirasi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Kerajaan Sarawak untuk menjadikan Sarawak sebagai hab tenaga baharu khususnya dalam bidang hidrogen dan teknologi hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pejabat Premier Sarawak, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Tambah beliau, pelan induk tersebut kini berada pada fasa akhir penyediaan dengan anggaran 60 peratus telah siap dan dijangka akan diluncurkan pada penghujung tahun ini.

Pelan tersebut, katanya, penting bagi memposisikan Sarawak sebagai pemain utama dalam sektor tenaga di peringkat antarabangsa.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa Majlis MARA buat julung kalinya bermesyuarat di Bintulu, Sarawak semalam dan mengambil peluang melawat beberapa institusi pendidikan MARA termasuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), IKM dan GiatMARA.

Hasil sesi libat urus bersama para pelajar, katanya, MARA meluluskan peruntukan kira-kira RM3 juta bagi menaik taraf kemudahan pendidikan termasuk asrama, padang dan fasiliti pembelajaran di MRSM dan IKM Bintulu.

“Kita harapkan suntikan ini dapat memberikan motivasi kepada pelajar-pelajar dan pelatih di institusi kemahiran MARA. Saya lihat semangat dan kesungguhan pelajar-pelajar di Sarawak amat luar biasa.

“Sebab itu, kita mengambil pendekatan untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Sarawak agar manfaatnya dapat dirasai oleh anak-anak Sarawak dalam tempoh akan datang,” ujarnya lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan