KUCHING, 19 Mei: Seramai 55,184 individu berpendapatan rendah di Sarawak menerima pelbagai bentuk bantuan kewangan daripada kerajaan dengan jumlah keseluruhan perbelanjaan mencecah RM98.8 juta bagi tempoh Januari hingga April 2025.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 45,240 penerima menerima bantuan bulanan daripada Kerajaan Persekutuan berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Nasional sebanyak RM1,198.
“Selain itu, seramai 9,944 individu berpendapatan rendah turut menerima manfaat daripada Bantuan Am Negeri yang berdasarkan PGK sebanyak RM990,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu bekata demikian bagi menjawab soalan pertanyaan ADUN Bukit Begunan Datuk Mong Dagang pada hari kedua bagi penggal keempat persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang ke-19 di DUN Sarawak hari ini.
Sementara itu, Fatimah turut memberitahu bahawa pelbagai program telah dilaksana oleh Kerajaan Sarawak dalam usaha menangani isu kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah di negeri ini.
Antaranya pelaksanakan inisiatif Geran Usahawan Wellbest untuk menggalakkan berdikari dalam kalangan rakyat berpendapatan rendah dan menyokong pembangunan ekonomi komuniti setempat melalui keusahawanan.
“Kementerian, melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS), menyediakan Geran Usahawan Wellbest sehingga maksimum RM5,000 sebagai inisiatif untuk membantu penerima bantuan kebajikan bulanan meningkatkan taraf ekonomi mereka.
“Geran sekali bayar ini disasarkan kepada penerima bantuan kebajikan bulanan atau isi rumah yang produktif, bagi membolehkan mereka mengembangkan perniagaan, menambah pendapatan serta keluar daripada senarai penerima bantuan bulanan,” jelas beliau. – TVS