KUCHING, 20 Mei : Kerajaan Sarawak kini sedang meneliti cadangan untuk mengiktiraf penempatan seperti Genturong sebagai kawasan setaraf kampung yang sah dan rasmi bagi memastikan pembangunan serta pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata penelitian itu dibuat mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada.
“Ini termasuklah menilai status pemilikan tanah serta memastikan pematuhan terhadap kriteria dan syarat yang ditetapkan bagi pewujudan jawatan Ketua Kaum,” katanya.
ADUN Bukit Goram itu berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ADUN Pelagus, Wilson Nyabong Ijang pada hari kedua Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 hari ini.
Tambah beliau, setakat ini sebanyak 14 Genturong di daerah Kapit telah dikenal pasti dan menerima pengiktirafan daripada Kerajaan Sarawak.— TVS