Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Daging sejuk beku yang disyaki diimport tanpa permit sah dengan anggaran nilai keseluruhan mencecah kira-kira RM6.2 juta dalam satu serbuan di sebuah premis di Bintulu, baru-baru ini. Foto Polis Marin

Daging sejuk beku disyaki seludup dirampas, nilai mencecah RM6.2 juta

BINTULU, 20 Mei: Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Sarawak merampas pelbagai jenis daging sejuk beku yang disyaki diimport tanpa permit sah dengan anggaran nilai keseluruhan mencecah RM6,220,900.16 dalam satu serbuan di sebuah premis di sini, baru-baru ini.

Menurut Pemangku Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Sarawak, Superintenden Rusdin Banin, rampasan berkenaan dilakukan ketika pelaksanaan Op Taring Khazanah menerusi pemeriksaan ke atas sebuah premis di Jalan Sultan Iskandar pada 15 Mei 2025.

“Premis terbabit disyaki dijadikan tempat penyimpanan stok daging sejuk beku untuk diedarkan ke pasaran tempatan tanpa sebarang dokumen pengesahan daripada pihak berkuasa.

“Seorang lelaki tempatan dipercayai pemilik premis telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 9(1), Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999 kerana mengimport produk ternakan atau berasaskan ternakan tanpa permit yang sah.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan 2012) dan Akta Makanan 1983.

Rusdin turut menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dan jenayah bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

“Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Sarawak menyambut baik segala bentuk maklumat dan kerjasama orang awam dengan menyalurkan maklumat kepada pihak polis juga amatlah digalakkan agar jenayah ini dapat dibenteras sepenuhnya,” katanya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan