KUCHING, 20 Mei: Kerajaan Sarawak akan melaksanakan teknologi Building Information Modelling (BIM) secara menyeluruh menjelang 2030 sebagai sebahagian daripada agenda transformasi digital dalam industri pembinaan negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata penggunaan BIM diwajibkan bagi semua projek bangunan melebihi RM10 juta dan projek infrastruktur bernilai lebih RM100 juta, seperti diumumkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada November 2024.
“BIM bukan lagi teknologi masa depan, sebaliknya menjadi keperluan standard dalam setiap peringkat pelaksanaan projek. Ia perlu dijadikan amalan dalam merangka skop kerja, reka bentuk, penyelarasan, pelaksanaan dan penyelenggaraan,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Aidel Lariwoo pada Majlis Penutupan Perundingan Strategik Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, di sini, hari ini. Hadir sama, Pengarah JKR Sarawak, Dr Cassidy Morris.
Beliau berkata, pendigitalan dalam sektor pembinaan menjadi tonggak utama dalam memperkukuh ketelusan, tadbir urus, pengurusan kos berhemah serta pematuhan terhadap piawaian keselamatan dan kelestarian.
“Teknologi BIM membolehkan penyelarasan lebih cekap antara semua pihak berkepentingan melalui visualisasi dan integrasi data, sekali gus meminimumkan kesilapan serta membantu dalam membuat keputusan dengan lebih tepat.
“Selain memastikan projek disiapkan mengikut masa, ia juga menjamin akauntabiliti dalam setiap peringkat pelaksanaan,” katanya.
Uggah turut menegaskan, penerapan teknologi moden seperti BIM bukan hanya memenuhi tuntutan semasa, malah sejajar dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk menjadikan Sarawak negeri maju, mampan dan berdaya tahan