KUALA LUMPUR, 20 Mei: Penyerang Sri Pahang FC T. Saravanan mengakui musim 2024/2025 memberi pengajaran berguna dalam kariernya, apabila berjaya memanfaatkan peluang yang terhad untuk membuktikan kemampuan bersama skuad Tok Gajah.
Pemain berusia 24 tahun itu, sebelum ini jarang diturunkan sejak menyertai Sri Pahang tahun lepas, namun mendapat kepercayaan dalam beberapa perlawanan terakhir termasuk final Piala Malaysia berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) bulan lepas, yang menyaksikan beliau turut meledak jaringan.
“Saya memang tak dapat bermain awal-awal dulu, tetapi tahun ini (penghujung saingan liga) saya dapat juga dalam enam perlawanan, saya cuba buat yang terbaik.
“Akhirnya saya dapat tunjuk kepada pasukan yang saya boleh bermain dan diberi peluang dalam perlawanan akhir Piala Malaysia dan menjaringkan gol dalam final itu. Saya boleh kata yang saya gembira dengan Sri Pahang,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Mengenai masa depannya, bekas penyerang Kuala Lumpur City FC itu hampir pasti mencari destinasi baharu susulan khabar angin Sri Pahang bakal menarik diri daripada saingan Liga Super musim depan.
Bekas penyerang skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan itu turut mengesahkan ada menerima beberapa tawaran daripada pasukan Liga Super lain, dengan kebanyakannya berpangkalan di Lembah Klang, namun sebarang keputusan belum dibuat.
“Setakat ini memang ada banyak pasukan bertanya dan beri tawaran tapi saya belum ada keputusan,” kata Pemain Terbaik Bulanan Liga Super 2024/2025 bagi bulan Mac-April itu.
Sementara itu, mengulas antara cabaran dihadapinya musim ini, Saravanan tidak menafikan isu tunggakan gaji yang melanda Sri Pahang, memberi kesan kepada moral sebagai seorang pemain.
Namun beliau bersyukur keadaan kembali stabil selepas pengurusan menyelesaikan perkara itu.
“Masa awal-awal memang agak struggle. Kita (pemain) macam mental down dan sebagai pemain apabila mengadapi situasi macam ini kita tidak boleh bercakap dan meluahkan. Tapi bila dah selesai, barulah semua okey semula.
“Saya sendiri terpaksa guna duit simpanan yang sepatutnya untuk masa depan. Bila gaji dah masuk, baru saya boleh ganti balik,” katanya sambil menambah beliau hanya bergantung kepada keluarga jika perlu meminjam dan tidak melakukan pinjaman luar.
Dalam pada itu, Saravanan menyeru supaya pemain muda di Malaysia sentiasa bersabar dan memahami realiti semasa industri bola sepak tempatan yang masih bergelut dari segi ekonomi. -TVS