TAWAU, 20 Mei: Polis merampas dadah jenis syabu seberat 2,493.45 gram bernilai RM87,000 dalam satu operasi di Lapangan Terbang Tawau yang membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kedua-dua suspek berusia 44 dan 21 tahun itu diberkas secara berasingan sejurus tiba dari Kuala Lumpur menerusi dua penerbangan berasingan antara jam 9.25 malam dan 10.15 malam.
“Tangkapan dibuat hasil maklumat awam dan risikan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurutnya, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki yang dilihat dalam keadaan mencurigakan. Pemeriksaan terhadap bagasinya menemui sebuah alat vakum yang disyaki digunakan untuk penyeludupan dadah.
“Siasatan lanjut membawa kepada penahanan suspek kedua yang tiba menerusi penerbangan berlainan. Pemeriksaan ke atas beg suspek menemui bungkusan minuman, kotak makanan dan termos air yang mengandungi bahan disyaki syabu,” katanya.
Tambahnya, ujian air kencing ke atas suspek pertama didapati positif methamphetamine dan amphetamine, manakala suspek kedua negatif.
Semakan mendapati suspek pertama mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah, manakala suspek kedua mempunyai dua rekod – satu kes penipuan dan satu kesalahan jenayah.
Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari hingga 25 Mei untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.