BINTULU, 19 Mei: Seorang wanita melecur di bahagian belakang badan dalam kebakaran stor sebuah rumah di Rancagan Perumahan Rakyat (RPR) Tanjung Kidurong di sini, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 7.33 pagi dengan menggerakkan tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong ke lokasi kejadian.
“Tindakan pantas orang awam berjaya membantu memadam kebakaran sebelum ketibaan pihak bomba.
“Kebakaran melibatkan bilik stor berhampiran dapur rumah dengan anggaran peratusan kemusnahan dalam 10 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, wanita yang melecur di bahagian belakang telah menerima rawatan awal dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi.
“Pasukan bomba membuat overhaul dengan menggunakan satu aliran salur bantu mula satu nozel sumber air dari jentera sehingga tiada lagi punca api dan keadaan benar-benar selamat,” ujarnya. – TVS