KUCHING, 19 Mei: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohamad Sanusi menghadiri Majlis Jamuan Negeri bersempena dengan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di sini, malam ini.
Turut menghadiri majlis itu ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang,
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian turut hadir.
Majlis diserikan dengan persembahan pembukaan oleh Majlis Seni Sarawak, persembahan instrumental And The Waltz Goes On, selain dihiburkan oleh bakat anak Sarawak seperti Nadhar Idrus dan Harley yang mendendangkan lagu Unchained Melody dan You Don’t Have to Love Me dan Carrie Geres.
Terdahulu, Pehin Sri Dr Wan Junaidi telah berkenan menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di Kompleks DUN Sarawak, pagi tadi.
Persidangan kali ini memberi tumpuan kepada pembentangan enam Rang Undang-Undang (RUU) iaitu RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2025, RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2025, RUU Pembubaran Dana Amanah Pembangunan Infrastruktur 2025, RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2025, RUU Pihak Berkuasa Tempatan (Pindaan) 2025 dan RUU Pusat Biodiversiti Sarawak (Pindaan) 2025.
Persidangan Penggal Keempat DUN Sarawak Ke-19 akan berlangsung dari 19 hingga 28 Mei ini.- TVS