KUCHING, 19 Mei: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkenan menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.
Turut hadir, isteri beliau, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Keberangkatan tiba Tun Wan Junaidi dan isteri pada jam 9:25 pagi disambut Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Istiadat penuh adat itu dimulakan dengan nyanyian lagu Ibu Pertiwiku oleh Pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) diikuti pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama oleh Tun Wan Junaidi melibatkan 105 anggota Pasukan Gerakan Am dan PDRM diketuai DSP Harun Saharudin Mohamad.
Selesai istiadat rasmi dan nyanyian lagu kebangsaan, Tun Wan Junaidi dan isteri beredar masuk ke Dewan Mesyuarat DUN untuk menyampaikan ucapan perasmian di hadapan 82 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak.
Persidangan kali ini memberi tumpuan kepada pembentangan enam Rang Undang-Undang (RUU).
Tiga RUU oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas merangkumi RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2025, RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2025 dan RUU Pembubaran Dana Amanah Pembangunan Infrastruktur 2025.
Sementara itu, RUU lain dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan merangkumi RUU Kanun Tanah (Pindaan) 2025.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian pula akan membentangkan RUU Pihak Berkuasa Tempatan (Pindaan) 2025.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn pula membentang RUU Pusat Biodiversiti Sarawak (Pindaan) 2025.
Asfia ketika sidang media pada Ahad memaklumkan sebanyak 320 soalan telah dikemukakan untuk sesi kali ini terdiri daripada 247 soalan lisan dan 73 bertulis.
Sidang DUN Sarawak akan berlangsung dari 19 hingga 28 Mei.-TVS