TOKYO, 19 Mei: Maharaja Jepun Naruhito dan Maharani Masako akan melawat Hiroshima bulan depan bagi memperingati mangsa perang menjelang ulang tahun ke-80 berakhirnya Perang Dunia Kedua, menandakan lawatan pertama mereka ke bandar yang dibom atom itu sejak baginda naik takhta pada 2019, lapor Agensi Perita Kyodo memetik Imperial Household Agency pada Isnin.
Selepas tiba dari Lapangan Terbang Haneda di Tokyo pada 19 Jun, pasangan diraja itu akan meletakkan bunga dan bertafakur di sebuah tugu peringatan untuk mangsa bom atom di Taman Peringatan Keamanan Hiroshima, sebelum melihat pameran tinggalan bangunan dan mendengar testimoni mangsa terselamat di Muzium Peringatan Keamanan Hiroshima, menurut agensi itu.
Keesokan harinya, mereka akan bertemu penduduk sebuah rumah penjagaan untuk mangsa terselamat bom atom dan meninjau kemajuan pemulihan kawasan yang terjejas akibat tanah runtuh pada Ogos 2014.
Maharaja Naruhito kali terakhir melawat tugu peringatan itu pada Oktober 2006 ketika baginda masih Putera Mahkota, manakala Maharani Masako kali terakhir menemaninya kira-kira 25 tahun lalu pada November 2000.
Sebagai sebahagian daripada lawatan peringatan sempena ulang tahun ke-80 berakhirnya perang, Maharaja dan Maharani bulan lalu melawat Pulau Iwoto, yang dahulunya dikenali sebagai Iwojima, lokasi pertempuran sengit antara Jepun dan Amerika Syarikat di Pasifik, untuk memperingati mangsa perang.
Pasangan diraja itu turut dijadualkan melawat Okinawa awal bulan depan bersama anak perempuan mereka, Puteri Aiko, manakala lawatan ke Nagasaki dijadualkan pada September.- TVS