KUCHING, 19 Mei: Amalan meritokrasi merupakan kunci kepada kejayaan masa hadapan Sarawak.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kelulusan akademik semata-mata tidak mencukupi untuk menghadapi cabaran semasa tanpa disertai dengan komitmen tinggi, rasa tanggungjawab yang mendalam serta kepekaan terhadap keperluan bertindak pantas dan berkesan.
“Pelan dan perancangan pembangunan negeri ketika ini memberi tumpuan kepada pembinaan modal insan yang berilmu, berdaya saing dan berintegriti. Sejarah telah menunjukkan bahawa negara yang mengamalkan meritokrasi mampu melonjak jauh dalam dekad-dekad kebelakangan ini,” katannya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 hari ini.
Sementara itu, beliau turut menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) agar berbahas secara berhemah, bertanggungjawab dan konstruktif selaras dengan prinsip Rukun Negara.
Beliau berkata, kejayaan masa depan Sarawak amat bergantung kepada iltizam ADUN dalam melaksanakan peranan mereka sebagai penggubal dasar dan undang-undang berwibawa.
Persidangan kali ini dijangka membincangkan pelbagai isu penting melibatkan aspek pembangunan, pendidikan serta pemerkasaan rakyat Sarawak dalam era ekonomi digital dan globalisasi.-TVS