BINTULU, 19 Mei: Kemalangan yang mengorbankan nyawa seorang pemandu dan kelindan lori yang membawa muatan baja di Batu 16 Jalan Pan Borneo Bintulu-Miri di sini pagi tadi dipercayai berlaku apabila pemandu lori tersebut dalam perjalanan dari Bintulu ke ladang sawit berhampiran kawasan Kampung Rumah Gumbang.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, dalam kejadian jam 11 pagi itu lori terbabit hilang kawalan terbabas sendiri semasa menuruni jalan curam simpang T dalam kawasan kampung lalu terjunam ke dalam longkang jalan utama Jalan Pan Borneo Bintulu-Miri.
“Akibat daripada kemalangan itu pemandu lori serta seorang penumpang iaitu kedua-dua adalah lelaki dalam lingkungan usia 30-an yang merupakan warga tempatan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak ambulans Hospital Bintulu yang tiba di lokasi kejadian.
“Manakala seorang lagi lelaki juga merupakan penumpang lori tersebut mendapat kecederaan ringan dan dikejarkan ke Hospital Bintulu untuk mendapat rawatan lanjut dan sedang dirawat di Zon Hijau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat,” ujarnya.
Sekiranya ada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh tampil dan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Lydia Allan, Balai Trafik Bintulu di talian 086-338575 atau Bilik Gerakan IPD Bintulu 086-318304. -TVS