LANGKAWI, 19 Mei: Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) kini berada pada fasa persiapan akhir, dengan hampir keseluruhan aspek logistik, teknikal dan operasi telah mencapai tahap kesiapsiagaan penuh menjelang pembukaan rasmi esok.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tahap penyelarasan yang dicapai ketika ini amat memuaskan, termasuk dari segi pengurusan lokasi acara, susun atur pempamer, serta pergerakan dan penempatan aset ketenteraan dari dalam dan luar negara.
“Tinjauan yang dilakukan pagi ini adalah bagi memastikan segala perancangan berjalan seperti yang dijadualkan. LIMA’25 dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan bersama rakan strategik, Global Exhibition and Conferences (GEC), dan kami amat berpuas hati dengan persiapan keseluruhan setakat ini,” katanya dalam satu sidang media khas selepas meninjau dua lokasi utama pameran melibatkan Segmen Aeroangkasa dan Segmen Maritim, di sini hari ini.
Menurut beliau, edisi kali ini dijangka mencatat sejarah baharu dari segi penyertaan, dengan 860 syarikat pempamer mengambil bahagian, terdiri daripada 426 syarikat antarabangsa dan 434 syarikat tempatan.
“Ini merupakan peningkatan ketara berbanding LIMA 2023, yang mencatatkan 299 penyertaan syarikat antarabangsa dan 249 syarikat tempatan.
“Angka ini jelas mencerminkan pertumbuhan signifikan dalam minat terhadap LIMA, serta keyakinan terhadap potensi industri pertahanan dan teknologi negara,” tambahnya.
LIMA’25 yang berlangsung dari 20 hingga 24 Mei turut menampilkan penyertaan rasmi daripada 46 buah negara, menjadikannya antara penganjuran terbesar sejak diperkenalkan lebih tiga dekad lalu.
Tambah Khaled, LIMA’25 digerakkan sebagai platform strategik, bukan hanya untuk mempamerkan keupayaan industri pertahanan, maritim dan aeroangkasa, tetapi juga untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab perdagangan dan kerjasama pertahanan serantau dan global, selaras dengan tema Inovasi Hari Ini, Kejayaan Masa Hadapan atau ‘Innovate Today, Thrive Tomorrow’. – TVS