KUCHING, 19 Mei: Lawatan sayap belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan Meradong dan Semop ke Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 hari ini membuka ruang kepada golongan muda untuk memahami dengan lebih dekat peranan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta proses penggubalan dasar dan undang-undang di negeri ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, berkata lawatan seumpama itu bertujuan memperluaskan pengetahuan belia tentang fungsi DUN, bukan sekadar tertumpu kepada peranan wakil rakyat di lapangan semata-mata.
“Kita mahu anak muda faham bahawa tugas wakil rakyat bukan hanya turun padang, tetapi juga membawa isu-isu besar ke dalam Dewan serta terlibat dalam proses penggubalan undang-undang,” katanya ketika ditemui di lobi bangunan DUN Sarawak di sini, hari ini.
Lawatan itu disertai 19 ahli Belia PBB Semop dan enam dari Belia PBB Meradong.
Abdullah yang juga ADUN Semop berkata kehadiran belia turut memberi mereka peluang menyaksikan sendiri istiadat perasmian yang disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan kehadiran Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Saya percaya mereka amat teruja dengan pengalaman ini. Insya-Allah pada masa akan datang, lebih ramai belia dan anak muda dapat menyertai lawatan sebegini,” ujarnya.
Abdullah berkata, setiap kali persidangan DUN berlangsung, beliau akan membawa kumpulan belia dari kawasannya termasuk pemuda PBB, pemuda SABERKAS, pemimpin masyarakat dan ketua kaum untuk menyaksikan sendiri bagaimana persidangan dijalankan.
“Selain mendengar perbahasan, mereka juga dapat melihat bagaimana polisi digubal, isu rakyat dibangkitkan serta jawapan yang diberikan oleh menteri dan timbalan menteri yang bertanggungjawab,” tambahnya.
Inisiatif itu, katanya, diharap dapat menyemai minat dan kesedaran politik dalam kalangan generasi muda serta memupuk kefahaman mendalam mengenai sistem demokrasi dan pentadbiran negeri.
Setiausaha Sayap Belia PBB DUN Semop, Dominic Amor, menyifatkan peluang menyaksikan secara langsung persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sebagai satu pengalaman berharga yang membuka mata golongan muda terhadap proses demokrasi dan tadbir urus negeri.
Beliau yang berusia 28 tahun merakamkan penghargaan kepada Abdullah atas inisiatif membawa kumpulan belia menghadiri persidangan tersebut.
“Terima kasih kepada YB Datuk Abdullah atas peluang yang diberikan untuk melihat sendiri bagaimana DUN bersidang. Kami akan manfaatkan peluang ini untuk menimba sebanyak mungkin ilmu,” katanya.
Ahli Jawatankuasa Belia PBB Cawangan Semop, Ahmad Faizan Bustan, menyifatkan peluang menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sebagai satu pengalaman yang amat bermakna bagi dirinya dan rakan-rakan belia.
Beliau berkata, jemputan tersebut memberi peluang kepada golongan muda untuk melihat sendiri perjalanan istiadat perasmian persidangan, sekali gus memahami struktur dan protokol institusi legislatif negeri.
“Saya sangat berbesar hati atas lawatan ini. Ia memberi pendedahan tentang bagaimana proses persidangan DUN Sarawak dijalankan secara rasmi dan teratur,” katanya.
Bagi Setiausaha Ranting Belia PBB Kampung Penipah, Nor Farah Hanim Azman pula, peluang menghadiri persidangan DUN Sarawak membuka ruang baharu buat dirinya memahami secara langsung perjalanan institusi legislatif negeri.
Menurutnya, sebelum ini beliau hanya melihat persidangan DUN melalui televisyen, namun kali ini dapat menyaksikan sendiri proses persidangan dan istiadat perasmian dari dalam dewan.
“Saya dapat belajar sendiri bagaimana urusan DUN dijalankan. Pengalaman ini sangat bermakna dan saya lihat belia PBB Semop kini semakin peka dengan perkembangan politik,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Sayap Belia PBB Meradong, Muhd Shafiq Abu Bakar, meluahkan rasa teruja kerana berpeluang menyaksikan sendiri persidangan DUN Sarawak buat pertama kali.
Menurutnya, pengalaman menyaksikan sendiri istiadat perasmian persidangan pagi tadi memberikan pendedahan langsung tentang peranan dan tanggungjawab sebenar seorang ADUN.
“Ini kali pertama saya ke DUN. Saya amat teruja dan banyak belajar, terutama mengenai salah satu tanggungjawab utama ADUN dalam membahaskan isu rakyat serta menggubal dasar di peringkat negeri,” katanya.