KUCHING, 19 Mei: Rakyat Sarawak diseru untuk tidak berpengaruh dengan anasir yang berpotensi menganggu gugat kestabilan politik di wilayah ini.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, anasir tersebut jika tidak ditangani dengan baik maka wawasan Sarawak ke arah ekonomi maju berpendapatan tinggi menjelang 2030 tidak dapat dicapai.
Menurutnya, kestabilan politik merupakan syarat utama kepada pembangunan Sarawak yang mampan.
“Saya gembira keadaan politik negara kita khususnya di Sarawak berada di dalam keadaan stabil dan keadaan ini menjamin pembangunan berterusan serta memberi keyakinan kepada pelabur untuk menanam modal mereka di Sarawak.
”Saya amat bersukacita kerana Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sehingga membolehkan Kerajaan Sarawak menggubal dan melaksana dasar progresif, berwawasan dan berpaksikan kepentingan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 hari ini.
Pada masa sama, Tun Wan Junaidi memuji Kerajaan Sarawak kerana terus memberi perhatian penuh terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, banyak bantuan disalurkan kepada rakyat memerlukan seperti bantuan kebajikan, bantuan subsidi perumahan, bantuan kesihatan dan pendidikan serta bantuan keusahawanan bagi menjana pendapatan.
“Saya mengucapkan syabas kepada Kerajaan Sarawak kerana telah menyediakan satu lagi inisiatif bermakna kepada rakyat yang memerlukan iaitu Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS).
“SKAS telah memberi impak besar kepada rakyat yang memerlukan kerana ia membantu mereka membeli barangan keperluan asas makanan sekali gus mengurangkan beban akibat kenaikan kos sara hidup,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar kemakmuran sosioekonomi yang dinikmati rakyat Sarawak hari ini terus dipelihara dengan mengekalkan kekuatan dan kestabilan politik yang dimiliki. – TVS