KUCHING, 19 Mei: Sorakan dan alunan suara penonton menyanyi mengikut setiap bait-bait lagu menjadi momen tidak dilupakan pada Festival Muzik Kuching 2025 yang diadakan di Panggung Udara Jalan Taman Budaya malam tadi.
Hujan ketika awal acara tidak melunturkan semangat penonton yang hadir dan mereka tetap setia menantikan persembahan yang disajikan dengan barisan bintang terkenal tanah air dan artis tempatan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan acara tersebut sebagai salah satu aktiviti penting sebelum Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2025Â yang dijadualkan dari 20 sehingga 22 Jun ini.
“Ini adalah festival muzik dikendalikan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sempena Hari Kuching tetapi diawalkan sedikit kerana melibatkan kumpulan orkestra dari Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Festival Muzik Kuching 2025 di Panggung Udara Jalan Taman Budaya di Kuching pada Ahad.
Festival Muzik Kuching 2025 menampilkan persembahan mantap daripada ramai artis tempatan termasuk Mal Imran, Firdaus Materang, Claudia Geres, Valerie Thiam, Chien NG dan Dell Lawrance, Orkestra Kuala Lumpur, Prodigy serta kumpulan etnik kontemporari kebanggaan Sarawak, Tuku Kame.
Persembahan utama oleh raja pop, Datuk Jamal Abdillah menjadi kemuncak acara dengan lagu malar segar dan ikoniknya seperti ‘Kekasih Awal dan Akhir, ‘Kehebatan Cinta’ dan ]Sandarkan Pada Kenangan’.
Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, Datuk Seri Nancy Haji Shukri, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Gerald Rentap Jabu, dan Datuk Bandar Kuching Utara Dato Hilmy Othman. – TVS