KUCHING, 19 Mei: Hak perlembagaan yang dimiliki oleh negeri ini perlu dihormati sepenuhnya berikutan pelantikan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) sebagai agregator gas tunggal di Sarawak.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sokongan kerajaan mencerminkan pengiktirafan terhadap kuasa eksekutif dan legislatif yang diberikan kepada Sarawak dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pelantikan syarikat milik negeri berdasarkan Distribution of Gas Ordinance 2016 dilihat signifikan untuk memperkukuh peranan Sarawak dalam industri gas dan tenaga.
Keputusan ini juga selaras dengan semangat Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962 yang dilaksanakan melalui Borneo States (Legislative Power) Order, 1963.
“Ini adalah selaras dengan rekomendasi daripada Laporan IGC 1962 yang telah dilaksanakan melalui Borneo States (Legislative Power) Order, 1963 yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Artikel 95C Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Sarawak Ke-19 di sini pada Isnin.
Tun Wan Junaidi yakin, Sarawak akan dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara.
Malah dalam masa sama beliau turut berharap agar kerjasama PETROS dan PETRONAS dapat dimuktamadkan dengan segera demi kepentingan bersama.
“Saya berharap kerjasama PETROS dan PETRONAS dapat dimuktamadkan dengan segera kerana ia pasti dapat membawa banyak kebaikan dalam pembangunan rantaian industri minyak dan gas di Sarawak untuk kemakmuran bersama negara dan Sarawak,” katanya. -TVS