MIRI, 19 Mei: Persidangan Penyelidikan Komuniti dan Kelestarian (Globesync 2025) menekankan kepentingan perkongsian global dalam menangani isu-isu semasa serta menggerakkan tindakan mampan berasaskan bukti dengan menghimpunkan ahli akademik, pengamal industri dan pembuat dasar dari seluruh dunia.
Pengerusinya, Profesor Dr Roy Rillera Marzo berkata, persidangan ini merupakan satu gerakan berimpak global yang bermula di Miri dan bertujuan memperkukuh kerjasama rentas negara dalam bidang kesihatan, pendidikan dan kelestarian.
“Persidangan ini bukan sekadar wacana akademik, tetapi satu platform tindakan. Kami mahu hasil penyelidikan diterjemahkan kepada dasar dan program nyata yang memberi manfaat langsung kepada komuniti,” katanya ketika majlis pelancaran awal Persidangan Penyelidikan Komuniti dan Kelestarian (Globesync 2025) di Hotel Dynasty di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, nama ‘Globesync’ diilhamkan daripada tiga tonggak strategik Universiti Curtin Malaysia ‘Manusia, Alam Sekitar dan Perkongsian’ dengan penekanan khas terhadap kolaborasi sebagai kunci kepada perubahan mampan.
“Dengan kerjasama sebagai asas, kita boleh bergerak dari bukti ke legasi mencipta impak berpanjangan merentasi sempadan,” katanya lagi.
Turut dilancarkan ketika itu ialah buku bertajuk ‘Pemberdayaan Warga Emas dalam Pembangunan Mampan’ serta penubuhan ‘Hab Penyelidikan dan Kelestarian Komuniti Globesync’ yang memberi tumpuan kepada komuniti warga emas dan masyarakat pribumi.
Bertemakan ‘Daripada Bukti kepada Legasi: Menterjemah Penyelidikan kepada Tindakan Mampan’, Globesync 2025 menyeru kepada usaha konkrit untuk menghasilkan warisan lestari berasaskan penyelidikan yang sahih.
“Tahun ini, kami ingin menekankan bahawa penyelidikan perlu menjadi alat kepada perubahan sosial yang sebenar bukan sekadar tinggal di atas kertas,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan peranan media dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Media berperanan penting dalam menyebarkan maklumat tepat, membanteras penyelewengan fakta dan menjadi agen perubahan dalam masyarakat,” ujarnya lagi.
Sementara itu, pelancaran simposium global pertama mengenai penuaan dan jangka hayat juga diumumkan susulan jangkaan status Sarawak sebagai wilayah pertama di Malaysia yang berstatus masyarakat tua menjelang tahun 2028.
“Kita perlu dasar yang lebih komprehensif dalam melindungi warga emas termasuk dari segi perlindungan sosial dan pembangunan tenaga kerja kesihatan yang bersedia menghadapi perubahan demografi,” tambahnya.
Persidangan Globesync 2025 dijadual berlangsung pada 4 dan 5 Disember ini dengan lebih 1,000 peserta dijangka hadir termasuk pakar dari Brunei Darussalam, Filipina, United Kingdom, Hong Kong, Vietnam, Myanmar, Kazakhstan, Amerika Syarikat dan Malaysia. – TVS