KUCHING, 19 Mei: Festival sukan ekstrem dan budaya belia pertama di Sarawak, CanRoll 2025, bakal berlangsung dari 23 hingga 25 Mei ini di Waterfront Kuching, menghimpunkan aksi lasak, gaya hidup urban serta kreativiti anak muda di bawah satu platform dinamik.
Pengasas Canard Media, Nik Mohd Suhaily, berkata festival anjuran Canard Group itu bukan sekadar medan sukan dan hiburan, tetapi satu gerakan budaya yang memberi inspirasi, menyatukan komuniti dan memperkasakan generasi muda.
“CanRoll bukan sekadar festival, ia adalah gerakan budaya. Kami menghimpunkan ekspresi belia, sukan ekstrem dan perusahaan tempatan dalam satu platform berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata CanRoll menampilkan pendekatan berbeza dengan menggabungkan elemen sukan ekstrem seperti papan selaju (skateboard), kasut roda (rollerblade), BMX dan sukan air sebagai sebahagian daripada ekosistem budaya belia moden.
Antara aktiviti utama yang bakal menarik perhatian ialah pertunjukan dan pertandingan skateboard, rollerblade, BMX serta sukan air seperti jet ski.
Festival ini menyasarkan golongan belia aktif dan kreatif berumur antara 16 hingga 45 tahun, merangkumi penunggang BMX, skater, blader, pencipta kandungan, peminat streetwear, penggemar makanan serta usahawan tempatan.
Dengan sokongan agensi seperti Tourism Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta MySED, CanRoll 2025 dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri kreatif, pelancongan domestik dan keusahawanan belia di Sarawak.