ISTANBUL, 19 Mei: Dua wanita pejalan kaki maut manakala seorang bayi cedera apabila sebuah kereta api melanggar mereka di atas jambatan kereta api di bandar raya Fremont, Ohio, menurut Datuk Bandar. Pencarian bagi seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang masih hilang sedang diteruskan susulan insiden yang berlaku pagi Ahad, lapor Anadolu Ajansi.
Datuk Bandar Danny Sanchez berkata kereta api itu melanggar dan mengorbankan dua wanita berusia 38 dan 58 tahun kira-kira 7.30 malam di atas jambatan yang terletak kira-kira 40 kaki di atas Sungai Sandusky di Fremont, kira-kira 40 batu tenggara dari Toledo, lapor The New York Times.
Sanchez berkata seorang kanak-kanak berusia setahun diselamatkan dari sungai dan dibawa ke hospital, manakala pasukan penyelamat meneruskan pencarian di sungai awal pagi Isnin bagi mencari kanak-kanak berusia lima tahun yang masih hilang.
Beliau tidak memberikan maklumat lanjut mengenai keadaan kanak-kanak berusia setahun itu dan masih belum jelas sama ada kedua-dua kanak-kanak turut dilanggar oleh kereta api berkenaan.
Menurut Sanchez, keempat-empat individu berkenaan dipercayai daripada sebuah keluarga yang datang ke Fremont dari Fort Wayne, Indiana, untuk memancing di sungai yang menjadi lokasi popular bagi memancing ikan bass putih, pada musim bunga.
“Kami percaya mereka hanya berada di kawasan ini untuk menikmati pemandangan Sungai Sandusky,” katanya seperti yang dipetik oleh akhbar itu.
Datuk Bandar berkata jambatan itu ditandakan dengan jelas sebagai laluan khusus untuk kereta api sahaja.
Jenis kereta api yang terbabit dalam insiden itu masih belum dikenal pasti. -TVS