BINTULU, 19 Mei: Dua kelindan maut selepas sebuah lori muatan baja terbabas di tepi jalan Kilometer 16, Lebuhraya Pan Borneo Bintulu – Miri di sini, hari ini.
Komander Operasi, Mazlan Tanin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 10.04 pagi dengan menggerakkan 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati kemalangan kendiri melibatkan sebuah lori muatan baja telah terbabas di tepi jalan.
“Terdapat tiga orang mangsa terlibat dalam kemalangan tersebut. Seorang mangsa yang merupakan pemandu telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, dua mangsa iaitu kelindan dikenali Christon Naim, 31 dan seorang lagi yang masih belum dikenal pasti identiti yang tersepit maut dalam kejadian itu manakala mangsa yang mengalami kecederaan dihantar ke hospital menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Operasi mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan menyelamat rescue tool sehingga mangsa berjaya dikeluarkan.
“Mangsa yang meninggal telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.-TVS
Caption gambar
Dua kelindan maut selepas sebuah lori muatan baja terbabas di tepi jalan Kilometer 16, Lebuh Raya Pan Borneo Bintulu – Miri hari ini. Foto JBPM