MUKAH, 19 Mei: Permainan Pickleball merupakan satu sukan dinamik yang menggabungkan elemen tenis, badminton dan ping pong yang dimainkan di gelanggang kecil dengan jaring yang lebih rendah serta menggunakan bola plastik berlubang.
Permainan ini boleh dimain secara perseorangan atau berpasangan dan baik untuk bersosial. Pickleball semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat pelbagai umur dan mendapat perhatian serta berkembang di Daerah Mukah.
Baru-baru ini, seramai 40 orang belia sekitar Daerah Mukah telah mengadakan perlawanan persahabatan Pickleball di antara Pasukan Pickleball Petanak dengan protem Kelab Pickleball Mukah yang telah diadakan di Gelanggang Pickleball Petanak.
Menurut Pengurus Pasukan Pickleball Petanak, Albert Ajan, perlawanan tersebut merupakan julung kalinya diadakan di gelanggang tersebut yang diubahsuai daripada gelanggang fustal.
“Objektif perlawanan persahabatan ini adalah sebagai menggalakkan gaya hidup aktif dan mengeratkan hubungan sosial di kalangan pemain-pemain Pickleball di sekitar daerah ini selain bertukar idea dan pendapat mengenai permainan yang semakin mendapat perhatian masyarakat dan sama-sama mempromosikan permainan ini.
“Kami juga ada merancang untuk mengadakan Klinik Asas Pickleball dan Pertandingan Pickleball untuk pemula secara tertutup kelak,” ujarnya.
Permainan Pickleball ini sesuai dijadikan aktiviti riadah sosial bagi semua peringkat usia yang kini mendapat perhatian untuk bermain bersama keluarga.
Walaupun nampak santai, Pickleball sebenarnya dapat memberikan latihan kardiovaskular yang berkesan untuk meningkatkan stamina, kekuatan otot dan keseimbangan badan.-TVS