KUDAT, 19 Mei: Sabah mencipta sejarah apabila diiktiraf Malaysia Book of Records (MBR) sebagai penganjur Acara Penanaman Serpihan Karang Terbesar di Malaysia, satu pencapaian luar biasa dalam usaha pemuliharaan marin negara.
Dengan 12,000 serpihan karang ditanam di dasar laut Taman Tun Mustapha (TTM), inisiatif ini bukan sahaja meletakkan Sabah di barisan hadapan konservasi biodiversiti marin, malah membuktikan keupayaan negeri itu memacu kerjasama rentas komuniti, saintis, agensi kerajaan dan sektor swasta demi kelestarian alam laut.
Majlis pengiktirafan ini disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew, sempena sambutan ulang tahun kesembilan pewartaan TTM di Dewan Tun Mustapha, Kudat.
“Syabas kepada Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Maklarin Lakim dan seluruh pasukan, serta semua rakan kolaborasi dan agensi pelaksana yang menjayakan inisiatif ini.
“Kepada komuniti tempatan, anda adalah penjaga sebenar lautan. Angka 12,000 mencerminkan iltizam dan kesepakatan kita. Ia diselesaikan dalam masa empat hari dengan penglibatan lebih 500 individu,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di sini, hari ini.
Projek konservasi marin ini melibatkan penyelam bertauliah, peserta bukan penyelam, komuniti Kg Tajau Laut dan Simpang Mengayau serta pelbagai pihak berkepentingan termasuk pemain industri pelancongan. Ia turut disokong oleh sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada sektor swasta dan NGO.
Menurut Christina, gabungan semangat gotong-royong dalam kalangan penyelam, pelajar, komuniti dan sukarelawan menjadi tulang belakang kejayaan acara ini.
“Inisiatif ini menyumbang kepada pelaksanaan dasar biodiversiti di peringkat negeri, negara dan antarabangsa termasuk menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 13, 14 dan 17,” ujarnya.
Ia juga sejajar dengan komitmen Malaysia terhadap Rangka Kerja Biodiversiti Global Kunming-Montreal, khususnya prinsip “30 by 30” bagi melindungi 30 peratus kawasan daratan dan lautan menjelang 2030.
“Harapan saya, inisiatif ini tidak terhenti sebagai simbolik semata-mata, tetapi disusuli dengan pelan tindakan seperti pemantauan saintifik, pendidikan komuniti dan pelaporan berkala,” tambah Christina.
TTM diwartakan sebagai taman marin pelbagai guna sejak 2016 dan kini meliputi lebih 898,000 hektar laut dan pesisir, menjadikannya yang terbesar di Malaysia dan antara yang terluas di rantau ini. Ia menjadi habitat kepada lebih 528 spesies ikan, 250 spesies karang, tiga spesies penyu laut terancam, dugong, ikan paus dan jerung paus.
“Keputusan mewartakan kawasan ini adalah hasil penyelidikan saintifik selama bertahun-tahun, termasuk pemetaan biodiversiti dan analisis habitat kritikal. TTM merangkumi lebih 50 pulau dan 53 kampung pesisir serta pulau yang dihuni lebih 80,000 penduduk,” katanya.
Christina turut merakamkan penghargaan kepada komuniti seperti Tajau Laut, Marang Parang, Bavang Jamal dan komuniti Pulau Banggi yang terlibat secara langsung dalam usaha konservasi menerusi pemantauan bersama, pemulihan terumbu karang dan pelancongan berasaskan komuniti.
Sebagai rekod, penanaman melibatkan 12,000 serpihan karang yang diikat pada 1,000 bingkai logam berbentuk heksagon (Reef Stars), kemudian dihantar dari pantai Simpang Mengayau ke tapak dasar laut berhampiran Pulau Kalampunian antara 15 hingga 18 Mei lalu.
Usaha ini digerakkan oleh Taman-Taman Sabah sebagai agensi utama dengan kerjasama WWF-Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, komuniti tempatan, agensi penguat kuasa, sukarelawan dan sektor swasta.
Fasa penyediaan bingkai dilakukan di Kg Tajau Laut dari 5 hingga 12 Mei, diikuti proses pemotongan dan pengumpulan lebih 20 spesies karang dari TTM. Penanaman dilaksanakan menggunakan sistem Mars Assisted Reef Restoration System (MARRS) merangkumi sembilan langkah saintifik dari penilaian habitat hingga pemantauan pasca penanaman.