SANDAKAN, 19 Mei: Seramai 35 penunggang motosikal klasik dan vintaj menyertai Distinguished Gentleman’s Ride (DGR) 2025 di sini semalam, sebagai usaha menyokong kempen kesedaran kesihatan mental lelaki dan pencegahan bunuh diri.
Acara tahunan berkonsepkan gaya klasik itu berlangsung serentak di lebih 1,000 bandar di seluruh dunia, dengan misi memperkukuh sokongan emosi dalam kalangan lelaki menerusi komuniti dan gaya hidup sihat.
Presiden Persatuan Rascamoto Sandakan, Ahmad Jimmy, berkata program berkenaan bukan sekadar medan buat peminat motosikal berkumpul, tetapi platform penting menyampaikan mesej kesedaran kesihatan mental.
“DGR bukan sekadar konvoi motosikal, tapi medium untuk kita ketengahkan isu kritikal seperti kesihatan mental lelaki. Kami mahu ahli dan masyarakat lebih peka tentang keperluan sokongan emosi,” katanya ketika ditemui, semalam.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur DGR Sandakan, Mansur Kundang, berkata promosi awal yang dijalankan dua bulan sebelum acara berjaya menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.
“Setiap pendaftaran untuk DGR secara automatik menyumbang kepada tabung kesihatan mental global. Ia bukan hanya konvoi, tetapi satu usaha berterusan yang bermula sejak awal lagi,” jelasnya.
Konvoi selama 45 minit itu menyusuri laluan ikonik sekitar pusat bandar, pesisir pantai dan beberapa lokasi bersejarah di Sandakan. Lebih menarik, peserta tampil segak dengan sut, tali leher serta aksesori bergaya vintaj, sejajar dengan tema global DGR.
Ahmad turut memaklumkan bahawa peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuk penjawat awam, belia dan pekerja sendiri.
“Ia membuktikan bagaimana satu aktiviti santai mampu menyatukan komuniti sambil menyebarkan mesej positif,” katanya.
Acara berakhir dengan sesi sembang santai dan perkongsian pengalaman dalam kalangan peserta, mencerminkan semangat persaudaraan dan solidariti terhadap isu kesihatan mental lelaki yang sering kali dipandang ringan.