MUKAH, 18 Mei: Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib menghadiri Program Mukah Car Free Day yang diadakan di Taman Boulevard, Jalan Boulevard Setiaraja semalam.
Program tersebut merupakan inisiatif bulanan anjuran Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) yang bertujuan memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat melalui aktiviti beriadah dan bersukan.
Di samping itu, ia turut menyokong matlamat pembangunan mampan (SDG) khususnya dalam aspek pengurangan pelepasan gas rumah hijau.
Hanifah menyambut baik penganjuran program sedemikian kerana ia selari dengan komitmen negara terhadap agenda SDG.
“Sebagai pemegang amanah portfolio SDG negara, kita menekankan kepentingan inisiatif di peringkat akar umbi dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti,” katanya.
Antara pengisian program termasuk senaman taiji, zumba, aktiviti riadah seperti berbasikal, berjogging dan berjalan kaki yang mendapat penyertaan aktif daripada pelbagai lapisan masyarakat setempat.-TVS