KUCHING, 18 Mei: Pekerja di Sarawak perlu bersedia menghadapi era baharu dunia pekerjaan yang dipacu kemajuan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, masa depan ekonomi wilayah ini akan bertumpu kepada produktiviti tinggi melalui penggunaan teknologi canggih.
“Ini bermakna, sebahagian pekerjaan akan diambil alih oleh teknologi. Namun, teknologi itu sendiri dicipta oleh manusia maka keperluan terhadap tenaga kerja masih wujud.
“Apa yang diperlukan kini ialah pekerja bijak atau ‘smart worker’ yang layak menerima gaji setimpal asalkan produktiviti mereka seiring dengan kepakaran dimiliki,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Pekerja Tahun 2025 Peringkat Sarawak yang berlangsung di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), di sini, hari ini.
Menurutnya, Sarawak kini dalam landasan kukuh untuk menjana ekonomi berpendapatan tinggi dengan pembangunan hidrogen hijau, teknologi cip pintar dan penerapan automasi dalam pelbagai sektor termasuk pertanian moden.
“Saya ingin berkongsi kepada anda semua bahawa kita mempunyai seorang saintis berasal dari Sarawak yang kini sedang bertugas di Cardiff, United Kingdom.
“Beliau bekerja di sebuah makmal milik Kerajaan British dan kini mengetuai projek Sarawak Semiconductor dalam usaha meneroka penemuan teknologi baharu,” ujarnya.
Sehubungan itu, Abang Johari berkata, kejayaan Sarawak mencapai status negeri berpendapatan tinggi bergantung kepada kesediaan pekerjanya untuk berubah, meningkatkan kemahiran dan menjadi pemacu utama transformasi ekonomi wilayah ini. – TVS