KUCHING, 18 Mei: Kerajaan Sarawak bercadang memendekkan tempoh pemprosesan permit kerja kepada hanya 30 hari dalam usaha meningkatkan kecekapan sistem tenaga kerja.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah tersebut penting bagi memenuhi permintaan industri terhadap tenaga kerja mahir seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada proses manual yang memakan masa.
Menurutnya, keperluan tenaga kerja termasuk dari luar negara perlu diurus secara digital dan tersusun berdasarkan trend pekerjaan semasa yang dikenal pasti.
“Kerajaan Sarawak mewujudkan apa yang disebut sebagai Unit Pengurusan Imigresen dan Buruh (ILMU) supaya permohonan permit kerja yang selalunya mengambil masa lebih kurang 190 hari hingga lapan bulan dapat diturunkan kepada 60 hari dan kita mahu turunkan lagi kepada 30 hari,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Pekerja Tahun 2025 Peringkat Sarawak yang berlangsung di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, platform digital tersebut akan membolehkan semua data pemohon dikongsi secara rentas agensi dengan lebih telus dan pantas selaras dengan piawaian antarabangsa dalam aspek pengurusan buruh dan persekitaran kerja.
“Salah satu syaratnya ialah keadaan persekitaran kerja mesti mematuhi undang-undang bertaraf antarabangsa dan ini adalah sebahagian daripada komitmen kita terhadap prinsip Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Abang Johari menambah, pendekatan tersebut juga memperkukuh keharmonian antara Ordinan Buruh Sarawak (SLO) dan Akta Pekerjaan Malaysia sekali gus memastikan Sarawak kekal kompetitif di peringkat serantau serta antarabangsa. – TVS