KUCHING, 18 Mei: Sebanyak enam rang undang-undang (RUU) akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang akan bermula 19 Mei ini.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, tiga daripada RUU tersebut akan dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru Kedua serta Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan.
Menurutnya, ia melibatkan RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2025, RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2025 dan RUU Pembubaran Dana Amanah Pembangunan Infrastruktur 2025.
Tambahnya, masing-masing satu RUU akan dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan melibatkan RUU Pindaan Kanun Tanah 2025, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian (RUU Pindaan Pihak Berkuasa Tempatan 2025) dan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn (RUU Pindaan Pusat Biodiversiti Sarawak 2025).
“Bacaan pertama adalah pada 20 Mei manakala bacaan kedua adalah pada 21 Mei.
“Jumlah soalan yang diterima daripada tarikh tutup 5 Mei adalah sebanyak 320 soalan yang memerlukan soalan bertulis dan lisan. Daripada 320 soalan, 247 untuk soalan lisan dan 73 secara bertulis,” katanya ketika sidang media sempena Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Keempat DUN Sarawak ke-19.
Tambahnya, bacaan kedua dan ketiga bagi RUU Pindaan Pusat Biodiversiti Sarawak 2025, RUU Pindaan Kanun Tanah 2025 dan RUU Pindaan Pihak Berkuasa Tempatan 2025 pada 20 Mei.
Manakala bagi RUU Pembubaran Dana Amanah Pembangunan Infrastruktur 2025 pada 21 Mei dan masing-masing RUU Perbekalan Tambahan (2024) 2025 dan RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2025 pada 22 Mei.
Persidangan dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Isnin.-TVS